YANG TERKINI

Filem Pekak Merangkul Dua Anugerah Di Russia



Filem Pekak Merangkul Dua Anugerah Di Russia

Filem Pekak terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures melakar kejayaan awal apabila merangkul dua anugerah utama pada International Motivational Film Festival - Bridge of Arts 2016 (IMF) di Russia, baru-baru ini.

Anugerah terbabit diraih menerusi lakonan Zahiril Adzim dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, manakala naskhah tulisan pengarahnya sendiri, Mohd Khairul Azri Md Noor pula dinobatkan sebagai Skrip Terbaik pada festival yang berlangsung di Restv-on-Don, Russia, 24 hingga 28 Ogos lalu.

Filem itu juga pernah dicalonkan pada World Premiere Film Festival Philippines, tahun lalu, manakala pada Mei tahun ini lalu, Pekak dipilih secara rasmi oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tayangan di Marche du Film 2016, iaitu acara pasaran filem terbesar di Cannes, Perancis.

Bakal menemui penonton di seluruh negara mulai esok, Pekak mengisahkan seorang pemuda cacat pendengaran bernama Uda, yang terjebak dengan jenayah pengedaran dadah. Beliau berbuat demikian bagi menampung kos pembedahan memulihkan pendengarannya.

Takdir menemukan Uda dengan Dara, seorang pelajar sekolah bermasalah yang ingin melarikan diri daripada kongkongan bapanya.

Selain Zahiril, filem ini turut diperkuatkan barisan pelakon berbakat lain seperti Sharifah Amani, Amerul Affendi, Sharifah Sakinah, Iedil Putra dan ramai lagi.


Sumber: Berita Harian

tags: pekak, russia, sharifah amani, zahiril adzim, pelakon lelaki terbaik

No comments