YANG TERKINI?

Mari Lihat Pendapatan Menteri dan Ahli Parlimen Malaysia Tahun 2018

Mari Lihat Pendapatan Menteri dan Ahli Parlimen Malaysia Tahun 2018

Heboh baru - baru ini disiarkan mengenai angka pendapatan bagi Menteri - Menteri serta Ahli Parlimen Malaysia yang baharu. Difahamkan Kerajaan PH sebelum ini mewajibkan menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen mewakili setiap parti dalam pakatan berkenaan, mengisytihar dan memperincikan harta masing-masing untuk membolehkan ia disiarkan melalui portal Perisytiharan Harta.

Melalui portal terbabit, orang ramai boleh memeriksa senarai aset dimiliki mereka seperti rumah, kereta, tanah, bangunan, perniagaan serta akaun bank.

Kerajaan PH mengikut standard antarabangsa seperti dilakukan Kerajaan India dan Georgia, bukan sahaja menteri dan Ahli Parlimen, termasuk dari parti pembangkang diwajib mengisytihar harta, malah isteri, anak dan anggota keluarga mereka juga dikehendaki berbuat demikian.

Berikut adalah senarai pendapatan Menteri dan Ahli Parlimen (*tidak mengikut ranking):

1. Menteri Kerja Raya, Baru Bian - RM108,056

2. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng - RM86,464.92

3. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dna Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail - RM77,629.68

4. Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad - RM75,861.57

5. Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow - RM73,576.15

6. Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin - RM72,276.37

7. Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - RM69,186.48

8. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail - RM59,048.33

Selain itu, antara individu lain yang sudah mengisytiharkan harta mereka adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Manakala Ahli Parlimen yang masih belum berbuat demikian berdasarkan carian di portal berkenaan pada jam 6.30 petang tadi antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, ketika dihubungi berkata, jumlah yang dipaparkan itu adalah jumlah pendapatan yang diterima oleh Ahli Parlimen sahaja, dan tidak termasuk ahli keluarga.

Katanya, jumlah itu termasuk gaji, elaun tetap, pendapatan diterima daripada sewaan seperti bangunan dan tanah dan lain-lain pendapatan yang diterima secara bulanan seperti gaji ahli lembaga pengarah.

“SPRM hanya menyediakan platform untuk Ahli Parlimen, apa sahaja maklumat yang diterima daripada mereka kami siarkan di portal berkenaan.

“Maklumat mengenai aset pula tidak didedahkan sehingga SPRM menerima keputusan mengenai perkara itu daripada kerajaan, SPRM hanya melaksanakan, apa yang boleh atau tidak boleh ditunjukkan adalah diputuskan oleh kerajaan,” katanya.

Setakat jam 6.30 petang hari ini, seramai 81 Ahli Parlimen kerajaan sudah mengisytiharkan harta mereka sementara 44 masih belum berbuat demikian.

SPRM sebelum ini menunda dua kali pelancaran portal memaparkan aset diisytihar anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen PH yang boleh diakses umum itu, dengan tarikh akhir untuk berbuat demikian semalam.

sumber - BH

Post a Comment

0 Comments