YANG TERKINI?

Tun Mahathir Saran Penjawat Awam dan Swasta Bersenam 15 Minit Semasa Bekerja

Tun Mahathir Saran Penjawat Awam Bersenam 15 Minit Semasa Bekerja

Kami semua menyambut baik saranan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau mencadangkan agar kakitangan pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit melakukan aktiviti senaman sebagai budaya mengamalkan gaya hidup sihat.

Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat sedemikian dengan berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.

“Saya syorkan semua pejabat kerajaan mahupun swasta pukul 11 pagi berhenti kerja (seketika) dan membuat senaman…kalau boleh di luar bilik penghawa dingin.

“Saya syorkan semua (kakitangan) keluar selama 15 minit buat senaman dan selepas itu balik kerja semula,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Promosi Hidup Aktif atau WALK (When Active Living Kicks) peringkat kebangsaan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Disamping itu, Dr Mahathir juga turut menasihatkan rakyat agar mengamalkan tiga petua untuk kekal sihat iaitu mengelakkan pengambilan makanan berlebihan, tidak merokok dan menghindarkan pengambilan minuman beralkohol. Beliau berkata tiada rahsia yang diamalkannya untuk kekal sihat pada usia 93 tahun kecuali sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

“Cara hidup kita mestilah selesa dan sesuai dengan kesihatan tubuh badan kita,” katanya.

Dr Mahathir turut berkongsi petua iaitu berhenti sewaktu sedang enak menjamah makanan kerana kecenderungan makan dan minum terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang itu gemuk serta perut buncit.

“Jangan makan terlalu banyak…kalau makanan itu sedap berhenti makan,” katanya.

Dr Mahathir berkata adalah penting untuk mengawal berat badan sebab apabila badan bersaiz kecil, jantung mudah mengepam darah ke seluruh tubuh badan dengan mudah. Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk banyakkan berjalan bagi mengelak penyusutan otot ketika sudah berusia.

“Otot kita kalau tak guna lama-kelamaan menjadi kecut dan lemah. Rumah saya ada lif tapi saya pilih naik tangga,” katanya dan menambah dahulu terdapat banyak pekerjaan yang membuatkan badan menjadi sihat tetapi kini banyak masa dihabiskan di pejabat dengan duduk sahaja dari pagi hingga petang.

Sementara itu, Dr Dzulkefly ketika berucap pada majlis itu berkata menurut hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, satu daripada tiga orang dewasa adalah tidak aktif.

“Secara perbandingan, golongan wanita adalah kumpulan yang tidak aktif berbanding lelaki. Di samping itu, rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas juga didapati tidak aktif,” katanya.

Sumber - BERNAMA

Post a Comment

0 Comments